Monday, August 23, 2010

Latihan 2 ( Karangan Cereka )

Kejadian tersebut memberikan pengajaran yang bermakna kepadaku. Sejak itu, aku berjanji tidak akan membantah cakap orang tuaku lagi.

Tulis sebuah cerita menarik yang diakhiri dengan perenggan di atas.

Latihan 1 ( Karangan Cereka )

"Hari masih gelap ketika aku melangkah keluar dari rumah. Aku berjalan perlahan-lahan menuju ke perhentian bas berhampiran rumahku. Tiba-tiba ................. "

Berdasarkan perenggan pendahuluan di atas, tulis sebuah cerita yang menarik mengikut kreativiti anda.

Latihan 2 ( Karangan Keperihalan )

Anda telah mengikuti ekspedisi ke sebuah kawasan hutan. Oleh sebab tidak berhati-hati dan tidak mematuhi arahan, anda terpisah daripada kumpulan lalu tersesat.

Ceritakan pengalaman anda sehinggalah anda diselamatkan.

Latihan 1 ( Karangan Keperihalan )

Baru-baru ini, anda telah mengikuti Program Pertukaran Pelajar yang dianjurkan oleh Jabatan Pelajaran.

Perihalkan suasana ketika berlangsungnya program tersebut.

Latihan 2 ( Karangan Fakta )

Isu pemanasan global merupakan isu yang hangat diperkatakan di seluruh dunia.
Huraikan kesan-kesan pemanasan global.

Latihan 1 ( Karangan Fakta )

Sesebuah negara yang ingin mencapai tahap negara maju haruslah memajukan bidang pendidikan terlebih dahulu.

Huraikan kepentingan pendidikan dalam membangunkan sesebuah negara.

Latihan 2 ( Karangan Perbincangan / Pendapat )

Kempen antirokok yang dilaksanakan oleh kerajaan gagal mencapai matlamatnya disebabkan sikap masyarakat yang enggan meninggalkan tabiat buruk tersebut.

Bincangkan pernyataan di atas.

Latihan 1 ( Karangan Perbincangan / Pendapat )

Kes buli dan gangsterime semakin berleluasa dalam kalangan remaja pada masa kini.
Bincangkan peranan yang dapat dimainkan oleh khidmat kaunseling di sekolah dalam menangani masalah ini.

Latihan 2 ( Karangan Perbahasan )

Anda telah dipilih untuk mewakili sekolah dalam pertandingan perbahasan. Tajuk perbahasan tersebut ialah "Bergiat dalam Bidang Perindustrian Lebih Menguntungkan daripada Bergiat dalam Bidang Pertanian".

Sebagai pihak pencadang, tulis hujah-hujah anda selengkapnya.

Latihan 1 ( Karangan Perbahasan )

Dalam satu pertandingan perbahasan, anda telah diminta membahaskan tajuk "Kemerosotan Sukan Negara Berpunca daripada Kelemahan Aspek Pengurusan".

Selaku pihak pembangkang, kemukakan hujah-hujah anda.

Latihan 2 ( Karangan Ucapan/Ceramah/Syarahan )

Belakangan ini, isu rasuah dalam kalangan kakitangan awam semakin menjadi-jadi. Selaku pegawai daripada Badan Pencegah Rasuah, anda diundang untuk menyampaikan ceramah tentang faktor-faktor berlakunya gejala rasuah.

Sediakan teks ceramah itu selengkapnya.

Latihan 1 ( Karangan Peribahasa )

Masyarakat Melayu sememangnya terkenal dengan peribahasa. Antaranya ialah alang-alang mandi biar basah.
Tulis sebuah karangan berdasarkan peribahasa tersebut.

Tuesday, August 10, 2010

Latihan 1 ( Karangan Ucapan/Ceramah/Syarahan )

Anda telah dijemput untuk menyampaikan ucapan tentang kegiatan vandalisma sempena kempen anti vandalisma. Tulis teks ucapan tersebut selengkapnya.

Monday, August 9, 2010

Karangan Jenis Ucapan/Ceramah/Syarahan

1. Ucapan,syarahan, dan ceramah tergolong dalam jenis karangan berformat khusus.
2. Karangan jenis ini biasanya ditulis untuk disampaikan dalam majlis-majlis atau upacara
tertentu, misalnya majlis keramaian, perasmian, perhimpunan dan sebagainya.
3. Suasana ucapan atau ceramah biasanya berbentuk formal (rasmi).
4. Bahasa yang digunakan haruslah mudah difahami, padat, tegas dan berkesan serta
meyakinkan.
5. Anda hendaklah memberi penerangan, penjelasan, dan fakta tentang
sesuatu perkara yang disampaikan.

Contoh Karangan

Selamat pagi dan selamat sejahtera, Saudari Pengacara Majlis, Yang Berusaha Tuan Pengetua, Tuan Haji Ahmad Bin Sirun, Guru Penolong Kanan Pentadbiran, Puan Azliza Azizul, guru-guru dan pelajar-pelajar sekalian. Bersyukur kita kerana dapat bersama dalam majlis ini. Terima kasih kerana memberi saya peluang berucap pada pagi yang mulia ini.

Lebih dahulu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah dan syabas kepada pelajar-pelajar yang berjaya mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan PMR yang lepas. Seperti mana yang sedia maklum, Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Tinggi telah menjadi sekolah cemerlang kerana peningkatan peratus pelajar yang mendapat 8A dalam peperiksaan PMR.


Hadirin sekalian,
Seperti mana yang sedia maklum, majlis ini adalah untuk meraikan kejayaan pelajar-pelajar sekolah ini. Muhammad Alham yang berjaya dipilih sebagai Pelajar Terbaik PMR di daerah ini. Saya serta warga sekolah mengucapkan tahniah kepada Muhammad Alham yang berjaya memperoleh 8A. Muhammad Alham merupakan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga dalam bidang kokurikulum. Dia pernah mewakili negeri Johor untuk acara 100 meter dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia. Selain itu, Muhammad Alham berjaya menjadi johan dan seterusnya muncul sebagai Pemidato Terbaik dalam petandingan Pidato Diraja Negeri Johor.

Walau bagaimanapun, Muhammad Alham akan meninggalkan sekolah ini untuk melanjutkan pelajaran ke Maktab Rendah Sains Mara. Saya dan rakan-rakan berasa sedih kerana kehilangan rakan yang berbudi bahasa, baik dan berhemah tinggi. Semoga Muhammad Alham dapat menyesuaikan diri di sekolah yang baru dan terus berusaha dengan gigih untuk mencapai kejayaan yang cemerlang.

Sekali lagi saya ingin mengucapkan tahniah kepada Muhammad Alham dan para pelajar yang telah berjaya mengharumkan sekolah ini. Saya berharap agar kejayaan yang anda peroleh ini akan menjadi pendorong kepada para pelajar yang lain untuk mencipta kejayaan. Sebelum mengundurkan diri, saya memohon maaf sekiranya terdapat salah dan silap semasa saya menyampaikan ucapan sebentar tadi.

Sekian, terima kasih.

Tuesday, August 3, 2010

Karangan Pidato

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh dan selamat sejahtera.

Terima kasih saya ucapkan kepada Yang Dihormati saudara Pengerusi Majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana, tetamu kehormat, gugu-guru, rakan-rakan pelajar dan seterusnya hadirin sekalian.

Pada pagi yang mulia ini saya akan menyampaikan pidato yang bertajuk “Memartabatkan Bahasa Melayu.” Sesuai dengan Slogan 1Malaysia, kita juga harus menguar-uarkan slogan “Bahasa Melayu Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Sesuai dengan statusnya sebagai bahasa rasmi dan digunakan dengan meluas, bahasa Melayu memang perlu diutamakan dan dipertahankan. Tambahan pula bahasa Melayu juga merupakan bahasa yang digunakan sebagai alat untuk perpaduan kaum di negara kita. Oleh itu, bahasa Melayu perlu dimartabatkan untuk menjadikannya lebih berkualiti dan mampu bersaing dengan bahasa-bahasa lain di dunia. Selain itu, kita berharap agar bahasa Melayu akan menjadi bahasa yang dinamik dan sentiasa mengalami proses penambahbaikan untuk menjadikannya lebih relevan mengikut arus perubahan zaman.

Saudara saudari yang dihormati sekalian,
Indikator saya yang pertama adalah memupuk kesedaran kepada anak-anak sejak kecil. Antara usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu adalah dengan memupuk kesedaran tentang pentingnya bahasa Melayu kepada anak-anak sejak kecil. Oleh itu, kesedaran tersebut perlulah ditanam dalam diri anak-anak sejak kecil. Dalam hal ini sudah tentu peranan tersebut perlu dimainkan oleh ibu bapa dan guru-guru. Sebagai contohnya, ibu bapa perlulah menggunakan bahasa Melayu yang betul apabila bertutur dengan anak-anak. Ibu bapa juga haruslah menerangkan kepentingan bahasa Melayu di negara kita dan juga sejarah bahasa Melayu yang telah dijadikan lingua franca pada zaman keagungan kerajaan Melayu Melaka pada kurun ke-15. Sekiranya kesedaran ini dapat dipupuk sejak kecil, seperti kata pepatah, “Kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya.” sudah pasti hasilnya akan berkekalan hingga dewasa dan sampai bila-bila.

Hadirin sekalian,
Indikator saya yang kedua adalah melalui kempen dan peranan media massa. Pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam perkara ini perlulah menjalankan kempen untuk memartabatkan bahasa Melayu. Pihak yang bertanggjawab dalam hal ini iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) haruslah menjalankan kempen yang berkesan untuk memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat agar cinta akan bahasa Melayu. Sebagai contohnya, pihak DBP perlu bekerjasama dengan pihak sekolah dan institusi pengajian tinggi awam atau swasta yang lain untuk menjalankan aktiviti yang menjurus ke arah memartabatkan bahasa Melayu. Media massa turut memainkan peranan untuk memartabatkan bahasa Melayu dalam kalangan anggota masyarakat. Hal ini demikian kerana, media massa memang berkesan dalam mempengaruhi orang ramai. Oleh hal yang demikian, sudah pasti perkara ini akan membuahkan hasil dan dapat meningkatkan penggunaannya dalam kalangan masyarakat di negara kita. Sekiranya penggunaan bahasa Melayu semakin meluas digunakan sudah tentu bahasa ini setanding dengan bahasa-bahasa lain di dunia Perkara ini dapatlah disamakan seperti kata pepatah, “Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi” dengan bahasa-bahasa antarabangsa yang lain di dunia ini.

Rakan-rakan dan hadirin sekalian,
Indikator saya yang ketiga ialah akta yang mewajibkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menurut Akta 32 iaitu Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, pindaan 1994, perlulah diperkasakan. Dengan perkataan lain, kerajaan perlulah menguatkuasakan akta parlimen ini iaitu akta yang mewajibkan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi dan pada papan tanda atau iklan. Secara tidak langsung, pihak swasta juga perlu patuh akan akta atau undang-undang yang berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu ini. Hal ini dibuktikan melalui kenyataan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka pada 18 Oktober 2009, iaitu Pejabat Peguam Negara sedang meneliti pindaan Akta Bahasa Kebangsaan 1963 Dan Akta Pendidikan 1996 bagi memberi kuasa kepada DBP untuk mendenda sektor awam dan agensinya yang tidak menggunakan bahasa Melayu dalam urusan mereka seperti pengendalian mesyuarat, penyediaan minit mesyuarat, urusan surat-menyurat dan majlis rasmi. Perkara ini perlu dipandang serius oleh semua pihak kerana kesalahan penggunaan bahasa tersebut menyebabkan mereka boleh didakwa dan seterusnya didenda. Oleh hal yang demikian, sudah pastilah bahasa Melayu akan dapat dimartabatkan di negara kita.

Hadirin sekalian,
Indikator saya yang keempat ialah memperkasakan peranan pihak penguatkuasa. Pihak berkuasa seterusnya perlu memberikan kuasa yang mencukupi kepada pihak penguatkuasa atau pemantau semasa menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu. Pihak penguatkuasa ini sepatutnya dibenarkan untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang ingkar atau tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Sebagai contohnya, pihak penguatkuasa bahasa ini perlu diberikan kuasa untuk menyaman, mendenda atau mendakwa pihak yang tidak mengikut undang-undang atau peraturan yang berkaitan dengan pelaksanaan bahasa Melayu seperti yang telah diluluskan oleh parlimen. Keadaan ini sudah pasti akan dijadikan sebagai pengajaran dan menakutkan pihak yang tidak mematuhi peraturan yang berkaitan dengan bahasa Melayu. Hal ini sudah tentu akan memberikan impak kepada pihak yang tidak mementingkan penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam urusan seharian.

Kesimpulannya, sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu perlulah dipergiat dari sekarang. Selain itu, semua pihak perlulah berganding bahu untuk memartabatkan penggunaan bahasa Melayu tanpa mengira kaum. Sekiranya perkara ini tidak diberikan penekanan, ditakuti nanti bahasa Melayu akan dipinggirkan daripada menjadi bahasa utama yang juga menjadi bahasa rasmi negara kita. Jadi, marilah kita bersama-sama memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu agar bahasa ini akan terus berkembang dan ditingkatkan martabatnya dengan menguar-uarkan slogan “Bahasa Melayu Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

Sekian sahaja pidato saya kali ini, dan saya ingin memohon maaf sekiranya tersilap kata dan terdapat tutur bicara yang kurang sopan semasa saya menyampaikan pidato tadi.

Sekian, terima kasih. Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum
warahmatullahiwabarakatuh.