Monday, July 5, 2010

Karangan Jenis Berita

Panduan Karangan Jenis Berita

1. Karangan berita menghendaki anda menyampaikan maklumat dan pengetahuan tentang sesuatu peristiwa yang benar-benar berlaku atau isu semasa.
2. Setiap isi atau fakta yang dikemukakan mestilah betul dan logik.
3. Berita yang ditulis mestilah berdasarkan lima aspek penting supaya berita itu lengkap dan betul, iaitu :
(a) Apa peristiwa yang hendak dilaporkan.
(b) Bila peristiwa itu berlaku.
(c) Di mana peristiwa itu berlaku.
(d) Siapa yang terlibat.
(e) Mengapa peristiwa itu berlaku.
4. Dalam penulisan berita, isi yang paling penting atau yang paling utama didahulukan manakala isi yang kurang penting dikemudiankan.
5. Isi berita juga perlu disertai dengan huraian dan contoh-contoh yang benar dan tepat untuk memuaskan dan meyakinkan pembaca tentang berita yang anda tulis.
6. Anda boleh memetik kata-kata atau pendapat orang tertentu yang terlibat dengan berita yang anda tulis.
7. Gaya bahasa yang digunakan dalam penulisan berita hendaklah mudah, ringkas dan padat supaya maklumat yang hendak disampaikan dapat difahami.Penulisan karangan berita mempunyai format yang khusus.


Contoh Karangan Berita


IPOH, Khamis- Kastam Perak berjaya merampas mercun dan bunga api bernilai RM 1.8 juta, dipercayai yang terbesar tahun ini berikutan suatu serbuan di sebuah rumah banglo dan penahanan tiga buah lori.

Pengarahnya, Datuk Md Sehan Awang Din berkata, rampasan pertama selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri yang membabitkan cukai bernilai RM 1.16 juta itu juga dipercayai sebagai cubaan terbaru untuk menyeludupkan mercun dan bunga api untuk kegunaan sempena sambutan Tahun Baru Cina akan datang.

Menurut beliau, rampasan oleh pasukan Kastam Bahagian Pencegahan, Taiping yang diketuai Penolong Kanan Pengarah Kastam Bahagian Pencegahan, Mat Desa Abdul Rashid itu dilakukan pada pukul 3.40 petang, Isnin lalu selepas menerima maklumat daripada orang awam.

"Hasil daripada maklumat tersebut, Pasukan Kastam telah menahan sebuah lori yang sedang dalam perjalanan ke utara di Jalan Taiping – Butterworth dan menemukan sejumlah mercun serta bunga api. Hasil daripada siasatan susulan, kita berjaya menemukan dua buah lori yang ditinggalkan di tepi jalan raya tidak jauh daripada tempat penahanan lori pertama.

"Rampasan ini membawa kejayaan selanjutnya, iaitu penemuan sejumlah besar mercun dan bunga api di sebuah rumah banglo yang tidak berpenghuni di Taman Berjaya, Permatang Tok Mahat, Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan yang dijadikan sebagai stor.

Menurut Datuk Mat Sehan Awang Din lagi, mercun dan bunga api yang dirampas daripada lori pertama dianggarkan bernilai RM 39,300 melibatkan cukai sebanyak RM 25,545 manakala, daripada lori kedua diangarkan bernilai RM 82,455 melibatkan cukai sebanyak RM 53,590, dan daripada lori ketiga dianggarkan bernilai RM 170,100 melibatkan cukai sebanyak RM 110,565. Sementara itu, rampasan mercun dan bunga api di rumah banglo yang terbabit dianggarkan bernilai RM 1.5 juta dengan cukai sebanyak RM 971,763.

"Penyimpanan sejumlah besar mercun dan bunga api di rumah banglo tersebut amat berbahaya kepada para penduduk dan harta benda di kawasan yang berdekatan jika sesuatu yang tidak diingini berlaku. Mereka yang tertangkap akan disabitkan dengan kesalahan atas kegiatan penyeludupan mercun dan bunga api ini boleh dihukum denda tidak kurang daripada 10 hingga 20 kali jumlah cukai atau RM 50,000 hingga RM 100,000 atau dihukum penjara tidak lebih daripada tiga tahun, atau kedua-duanya sekali,” ujarnya lagi.

4 comments: