Monday, August 23, 2010

Latihan 2 ( Karangan Cereka )

Kejadian tersebut memberikan pengajaran yang bermakna kepadaku. Sejak itu, aku berjanji tidak akan membantah cakap orang tuaku lagi.

Tulis sebuah cerita menarik yang diakhiri dengan perenggan di atas.

Latihan 1 ( Karangan Cereka )

"Hari masih gelap ketika aku melangkah keluar dari rumah. Aku berjalan perlahan-lahan menuju ke perhentian bas berhampiran rumahku. Tiba-tiba ................. "

Berdasarkan perenggan pendahuluan di atas, tulis sebuah cerita yang menarik mengikut kreativiti anda.

Latihan 2 ( Karangan Keperihalan )

Anda telah mengikuti ekspedisi ke sebuah kawasan hutan. Oleh sebab tidak berhati-hati dan tidak mematuhi arahan, anda terpisah daripada kumpulan lalu tersesat.

Ceritakan pengalaman anda sehinggalah anda diselamatkan.

Latihan 1 ( Karangan Keperihalan )

Baru-baru ini, anda telah mengikuti Program Pertukaran Pelajar yang dianjurkan oleh Jabatan Pelajaran.

Perihalkan suasana ketika berlangsungnya program tersebut.

Latihan 2 ( Karangan Fakta )

Isu pemanasan global merupakan isu yang hangat diperkatakan di seluruh dunia.
Huraikan kesan-kesan pemanasan global.

Latihan 1 ( Karangan Fakta )

Sesebuah negara yang ingin mencapai tahap negara maju haruslah memajukan bidang pendidikan terlebih dahulu.

Huraikan kepentingan pendidikan dalam membangunkan sesebuah negara.

Latihan 2 ( Karangan Perbincangan / Pendapat )

Kempen antirokok yang dilaksanakan oleh kerajaan gagal mencapai matlamatnya disebabkan sikap masyarakat yang enggan meninggalkan tabiat buruk tersebut.

Bincangkan pernyataan di atas.

Latihan 1 ( Karangan Perbincangan / Pendapat )

Kes buli dan gangsterime semakin berleluasa dalam kalangan remaja pada masa kini.
Bincangkan peranan yang dapat dimainkan oleh khidmat kaunseling di sekolah dalam menangani masalah ini.

Latihan 2 ( Karangan Perbahasan )

Anda telah dipilih untuk mewakili sekolah dalam pertandingan perbahasan. Tajuk perbahasan tersebut ialah "Bergiat dalam Bidang Perindustrian Lebih Menguntungkan daripada Bergiat dalam Bidang Pertanian".

Sebagai pihak pencadang, tulis hujah-hujah anda selengkapnya.

Latihan 1 ( Karangan Perbahasan )

Dalam satu pertandingan perbahasan, anda telah diminta membahaskan tajuk "Kemerosotan Sukan Negara Berpunca daripada Kelemahan Aspek Pengurusan".

Selaku pihak pembangkang, kemukakan hujah-hujah anda.

Latihan 2 ( Karangan Ucapan/Ceramah/Syarahan )

Belakangan ini, isu rasuah dalam kalangan kakitangan awam semakin menjadi-jadi. Selaku pegawai daripada Badan Pencegah Rasuah, anda diundang untuk menyampaikan ceramah tentang faktor-faktor berlakunya gejala rasuah.

Sediakan teks ceramah itu selengkapnya.

Latihan 1 ( Karangan Peribahasa )

Masyarakat Melayu sememangnya terkenal dengan peribahasa. Antaranya ialah alang-alang mandi biar basah.
Tulis sebuah karangan berdasarkan peribahasa tersebut.

Tuesday, August 10, 2010

Latihan 1 ( Karangan Ucapan/Ceramah/Syarahan )

Anda telah dijemput untuk menyampaikan ucapan tentang kegiatan vandalisma sempena kempen anti vandalisma. Tulis teks ucapan tersebut selengkapnya.

Monday, August 9, 2010

Karangan Jenis Ucapan/Ceramah/Syarahan

1. Ucapan,syarahan, dan ceramah tergolong dalam jenis karangan berformat khusus.
2. Karangan jenis ini biasanya ditulis untuk disampaikan dalam majlis-majlis atau upacara
tertentu, misalnya majlis keramaian, perasmian, perhimpunan dan sebagainya.
3. Suasana ucapan atau ceramah biasanya berbentuk formal (rasmi).
4. Bahasa yang digunakan haruslah mudah difahami, padat, tegas dan berkesan serta
meyakinkan.
5. Anda hendaklah memberi penerangan, penjelasan, dan fakta tentang
sesuatu perkara yang disampaikan.

Contoh Karangan

Selamat pagi dan selamat sejahtera, Saudari Pengacara Majlis, Yang Berusaha Tuan Pengetua, Tuan Haji Ahmad Bin Sirun, Guru Penolong Kanan Pentadbiran, Puan Azliza Azizul, guru-guru dan pelajar-pelajar sekalian. Bersyukur kita kerana dapat bersama dalam majlis ini. Terima kasih kerana memberi saya peluang berucap pada pagi yang mulia ini.

Lebih dahulu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah dan syabas kepada pelajar-pelajar yang berjaya mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan PMR yang lepas. Seperti mana yang sedia maklum, Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Tinggi telah menjadi sekolah cemerlang kerana peningkatan peratus pelajar yang mendapat 8A dalam peperiksaan PMR.


Hadirin sekalian,
Seperti mana yang sedia maklum, majlis ini adalah untuk meraikan kejayaan pelajar-pelajar sekolah ini. Muhammad Alham yang berjaya dipilih sebagai Pelajar Terbaik PMR di daerah ini. Saya serta warga sekolah mengucapkan tahniah kepada Muhammad Alham yang berjaya memperoleh 8A. Muhammad Alham merupakan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga dalam bidang kokurikulum. Dia pernah mewakili negeri Johor untuk acara 100 meter dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia. Selain itu, Muhammad Alham berjaya menjadi johan dan seterusnya muncul sebagai Pemidato Terbaik dalam petandingan Pidato Diraja Negeri Johor.

Walau bagaimanapun, Muhammad Alham akan meninggalkan sekolah ini untuk melanjutkan pelajaran ke Maktab Rendah Sains Mara. Saya dan rakan-rakan berasa sedih kerana kehilangan rakan yang berbudi bahasa, baik dan berhemah tinggi. Semoga Muhammad Alham dapat menyesuaikan diri di sekolah yang baru dan terus berusaha dengan gigih untuk mencapai kejayaan yang cemerlang.

Sekali lagi saya ingin mengucapkan tahniah kepada Muhammad Alham dan para pelajar yang telah berjaya mengharumkan sekolah ini. Saya berharap agar kejayaan yang anda peroleh ini akan menjadi pendorong kepada para pelajar yang lain untuk mencipta kejayaan. Sebelum mengundurkan diri, saya memohon maaf sekiranya terdapat salah dan silap semasa saya menyampaikan ucapan sebentar tadi.

Sekian, terima kasih.

Tuesday, August 3, 2010

Karangan Pidato

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh dan selamat sejahtera.

Terima kasih saya ucapkan kepada Yang Dihormati saudara Pengerusi Majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana, tetamu kehormat, gugu-guru, rakan-rakan pelajar dan seterusnya hadirin sekalian.

Pada pagi yang mulia ini saya akan menyampaikan pidato yang bertajuk “Memartabatkan Bahasa Melayu.” Sesuai dengan Slogan 1Malaysia, kita juga harus menguar-uarkan slogan “Bahasa Melayu Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Sesuai dengan statusnya sebagai bahasa rasmi dan digunakan dengan meluas, bahasa Melayu memang perlu diutamakan dan dipertahankan. Tambahan pula bahasa Melayu juga merupakan bahasa yang digunakan sebagai alat untuk perpaduan kaum di negara kita. Oleh itu, bahasa Melayu perlu dimartabatkan untuk menjadikannya lebih berkualiti dan mampu bersaing dengan bahasa-bahasa lain di dunia. Selain itu, kita berharap agar bahasa Melayu akan menjadi bahasa yang dinamik dan sentiasa mengalami proses penambahbaikan untuk menjadikannya lebih relevan mengikut arus perubahan zaman.

Saudara saudari yang dihormati sekalian,
Indikator saya yang pertama adalah memupuk kesedaran kepada anak-anak sejak kecil. Antara usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu adalah dengan memupuk kesedaran tentang pentingnya bahasa Melayu kepada anak-anak sejak kecil. Oleh itu, kesedaran tersebut perlulah ditanam dalam diri anak-anak sejak kecil. Dalam hal ini sudah tentu peranan tersebut perlu dimainkan oleh ibu bapa dan guru-guru. Sebagai contohnya, ibu bapa perlulah menggunakan bahasa Melayu yang betul apabila bertutur dengan anak-anak. Ibu bapa juga haruslah menerangkan kepentingan bahasa Melayu di negara kita dan juga sejarah bahasa Melayu yang telah dijadikan lingua franca pada zaman keagungan kerajaan Melayu Melaka pada kurun ke-15. Sekiranya kesedaran ini dapat dipupuk sejak kecil, seperti kata pepatah, “Kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya.” sudah pasti hasilnya akan berkekalan hingga dewasa dan sampai bila-bila.

Hadirin sekalian,
Indikator saya yang kedua adalah melalui kempen dan peranan media massa. Pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam perkara ini perlulah menjalankan kempen untuk memartabatkan bahasa Melayu. Pihak yang bertanggjawab dalam hal ini iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) haruslah menjalankan kempen yang berkesan untuk memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat agar cinta akan bahasa Melayu. Sebagai contohnya, pihak DBP perlu bekerjasama dengan pihak sekolah dan institusi pengajian tinggi awam atau swasta yang lain untuk menjalankan aktiviti yang menjurus ke arah memartabatkan bahasa Melayu. Media massa turut memainkan peranan untuk memartabatkan bahasa Melayu dalam kalangan anggota masyarakat. Hal ini demikian kerana, media massa memang berkesan dalam mempengaruhi orang ramai. Oleh hal yang demikian, sudah pasti perkara ini akan membuahkan hasil dan dapat meningkatkan penggunaannya dalam kalangan masyarakat di negara kita. Sekiranya penggunaan bahasa Melayu semakin meluas digunakan sudah tentu bahasa ini setanding dengan bahasa-bahasa lain di dunia Perkara ini dapatlah disamakan seperti kata pepatah, “Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi” dengan bahasa-bahasa antarabangsa yang lain di dunia ini.

Rakan-rakan dan hadirin sekalian,
Indikator saya yang ketiga ialah akta yang mewajibkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menurut Akta 32 iaitu Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, pindaan 1994, perlulah diperkasakan. Dengan perkataan lain, kerajaan perlulah menguatkuasakan akta parlimen ini iaitu akta yang mewajibkan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi dan pada papan tanda atau iklan. Secara tidak langsung, pihak swasta juga perlu patuh akan akta atau undang-undang yang berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu ini. Hal ini dibuktikan melalui kenyataan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka pada 18 Oktober 2009, iaitu Pejabat Peguam Negara sedang meneliti pindaan Akta Bahasa Kebangsaan 1963 Dan Akta Pendidikan 1996 bagi memberi kuasa kepada DBP untuk mendenda sektor awam dan agensinya yang tidak menggunakan bahasa Melayu dalam urusan mereka seperti pengendalian mesyuarat, penyediaan minit mesyuarat, urusan surat-menyurat dan majlis rasmi. Perkara ini perlu dipandang serius oleh semua pihak kerana kesalahan penggunaan bahasa tersebut menyebabkan mereka boleh didakwa dan seterusnya didenda. Oleh hal yang demikian, sudah pastilah bahasa Melayu akan dapat dimartabatkan di negara kita.

Hadirin sekalian,
Indikator saya yang keempat ialah memperkasakan peranan pihak penguatkuasa. Pihak berkuasa seterusnya perlu memberikan kuasa yang mencukupi kepada pihak penguatkuasa atau pemantau semasa menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu. Pihak penguatkuasa ini sepatutnya dibenarkan untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang ingkar atau tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Sebagai contohnya, pihak penguatkuasa bahasa ini perlu diberikan kuasa untuk menyaman, mendenda atau mendakwa pihak yang tidak mengikut undang-undang atau peraturan yang berkaitan dengan pelaksanaan bahasa Melayu seperti yang telah diluluskan oleh parlimen. Keadaan ini sudah pasti akan dijadikan sebagai pengajaran dan menakutkan pihak yang tidak mematuhi peraturan yang berkaitan dengan bahasa Melayu. Hal ini sudah tentu akan memberikan impak kepada pihak yang tidak mementingkan penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam urusan seharian.

Kesimpulannya, sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu perlulah dipergiat dari sekarang. Selain itu, semua pihak perlulah berganding bahu untuk memartabatkan penggunaan bahasa Melayu tanpa mengira kaum. Sekiranya perkara ini tidak diberikan penekanan, ditakuti nanti bahasa Melayu akan dipinggirkan daripada menjadi bahasa utama yang juga menjadi bahasa rasmi negara kita. Jadi, marilah kita bersama-sama memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu agar bahasa ini akan terus berkembang dan ditingkatkan martabatnya dengan menguar-uarkan slogan “Bahasa Melayu Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

Sekian sahaja pidato saya kali ini, dan saya ingin memohon maaf sekiranya tersilap kata dan terdapat tutur bicara yang kurang sopan semasa saya menyampaikan pidato tadi.

Sekian, terima kasih. Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum
warahmatullahiwabarakatuh.

Monday, July 5, 2010

Latihan 3 ( Karangan Berita )

Sebagai wartawan di sebuah akhbar tempatan, anda diminta untuk menulis sebuah berita tentang Minggu Penulis Remaja (MPR) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. Tulis berita anda itu selengkapnya.

Latihan 2 ( Karangan Berita )

Sepasukan polis telah melancarkan serbuan terhadap pendatang asing tanpa izin di sebuah lokasi. Andaikan bahawa anda sebagai seorang pemberita, tulis berita tentang operasi tersebut.

Latihan 1 ( Karangan Berita )

Suatu kejadian tanah runtuh telah meragut enam nyawa di kawasan lereng bukit. Sebagai pemberita, anda diminta membuat liputan tentang kejadian tersebut untuk disiarkan dalam akhbar. Panjangnya karangan anda hendaklah lebih daripada 180 patah kata.

Karangan Jenis Berita

Panduan Karangan Jenis Berita

1. Karangan berita menghendaki anda menyampaikan maklumat dan pengetahuan tentang sesuatu peristiwa yang benar-benar berlaku atau isu semasa.
2. Setiap isi atau fakta yang dikemukakan mestilah betul dan logik.
3. Berita yang ditulis mestilah berdasarkan lima aspek penting supaya berita itu lengkap dan betul, iaitu :
(a) Apa peristiwa yang hendak dilaporkan.
(b) Bila peristiwa itu berlaku.
(c) Di mana peristiwa itu berlaku.
(d) Siapa yang terlibat.
(e) Mengapa peristiwa itu berlaku.
4. Dalam penulisan berita, isi yang paling penting atau yang paling utama didahulukan manakala isi yang kurang penting dikemudiankan.
5. Isi berita juga perlu disertai dengan huraian dan contoh-contoh yang benar dan tepat untuk memuaskan dan meyakinkan pembaca tentang berita yang anda tulis.
6. Anda boleh memetik kata-kata atau pendapat orang tertentu yang terlibat dengan berita yang anda tulis.
7. Gaya bahasa yang digunakan dalam penulisan berita hendaklah mudah, ringkas dan padat supaya maklumat yang hendak disampaikan dapat difahami.Penulisan karangan berita mempunyai format yang khusus.


Contoh Karangan Berita


IPOH, Khamis- Kastam Perak berjaya merampas mercun dan bunga api bernilai RM 1.8 juta, dipercayai yang terbesar tahun ini berikutan suatu serbuan di sebuah rumah banglo dan penahanan tiga buah lori.

Pengarahnya, Datuk Md Sehan Awang Din berkata, rampasan pertama selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri yang membabitkan cukai bernilai RM 1.16 juta itu juga dipercayai sebagai cubaan terbaru untuk menyeludupkan mercun dan bunga api untuk kegunaan sempena sambutan Tahun Baru Cina akan datang.

Menurut beliau, rampasan oleh pasukan Kastam Bahagian Pencegahan, Taiping yang diketuai Penolong Kanan Pengarah Kastam Bahagian Pencegahan, Mat Desa Abdul Rashid itu dilakukan pada pukul 3.40 petang, Isnin lalu selepas menerima maklumat daripada orang awam.

"Hasil daripada maklumat tersebut, Pasukan Kastam telah menahan sebuah lori yang sedang dalam perjalanan ke utara di Jalan Taiping – Butterworth dan menemukan sejumlah mercun serta bunga api. Hasil daripada siasatan susulan, kita berjaya menemukan dua buah lori yang ditinggalkan di tepi jalan raya tidak jauh daripada tempat penahanan lori pertama.

"Rampasan ini membawa kejayaan selanjutnya, iaitu penemuan sejumlah besar mercun dan bunga api di sebuah rumah banglo yang tidak berpenghuni di Taman Berjaya, Permatang Tok Mahat, Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan yang dijadikan sebagai stor.

Menurut Datuk Mat Sehan Awang Din lagi, mercun dan bunga api yang dirampas daripada lori pertama dianggarkan bernilai RM 39,300 melibatkan cukai sebanyak RM 25,545 manakala, daripada lori kedua diangarkan bernilai RM 82,455 melibatkan cukai sebanyak RM 53,590, dan daripada lori ketiga dianggarkan bernilai RM 170,100 melibatkan cukai sebanyak RM 110,565. Sementara itu, rampasan mercun dan bunga api di rumah banglo yang terbabit dianggarkan bernilai RM 1.5 juta dengan cukai sebanyak RM 971,763.

"Penyimpanan sejumlah besar mercun dan bunga api di rumah banglo tersebut amat berbahaya kepada para penduduk dan harta benda di kawasan yang berdekatan jika sesuatu yang tidak diingini berlaku. Mereka yang tertangkap akan disabitkan dengan kesalahan atas kegiatan penyeludupan mercun dan bunga api ini boleh dihukum denda tidak kurang daripada 10 hingga 20 kali jumlah cukai atau RM 50,000 hingga RM 100,000 atau dihukum penjara tidak lebih daripada tiga tahun, atau kedua-duanya sekali,” ujarnya lagi.

Monday, June 28, 2010

Latihan 3 ( Karangan Wawancara )

Kini wabak denggi dikesan berlaku di beberapa kawasan. Anda berpeluang mewawancara seorang Pegawai Kesihatanberhubung masalah wabak denggi dan langkah-langkah yang diambil untuk membasminya.

Tulis teks wawancara itu selengkapnya. Panjangnya karangan anda hendaklah lebih daripada 180 patah kata.

Latihan 2 ( Karangan wawancara )

Anda berkhidmat di salah sebuah stesen televisyen swasta tempatan sebagai wartawan. Anda telah diberi tugas membuat liputan di Majlis Anugerah Sastera Kebangsaan dan berpeluang mewawancara pemenang utama Hadiah Sastera Remaja.

Tulis teks wawancara tersebut selengkapnya.

Latihan 1 ( Karangan wawancara )

Sekolah anda telah terpilih sebagai sebuah Sekolah Kluster oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Selaku wartawan majalah sekolah, anda dikehendaki mewawancara Pengetua sekolah untuk mengetahui lebih lanjut tentang Sekolah Kluster.

Tulis wawancara anda selengkapnya.

Panduan Menulis Karangan Wawancara

1. Karangan wawancara melibatkan dua pihak sekurang-kurangnya untuk bertukar-tukar
fikiran tentang sesuatu hal.
2. Perkara dan jalan ceritanya perlulah ditentukan lebih dahulu sebelum penulisan dimulakan.
3. Biasanya satu situasi akan diberikan dan anda mestilah menulis dialog atau wawancara
dengan berdasarkan situasi tersebut.
4. Kedua-dua pihak harus saling bertanya dan memberikan pendapat atau pandangan masing-
masing.
5. Anda juga boleh menulis aksi kedua-dua pihak itu dalam kurungan.
6. Aksi tersebut biasanya ditulis dalam dialog sahaja dan bukan dalam wawancara lebih formal
sifatnya.
7. Gunakan ayat-ayat yang mudah dan ringkas serta betul dari segi tatabahasanya.


Contoh Soalan:

Sebagai pengarang majalah sekolah anda dikehendaki mewawancara seorang pelajar di sekolah anda yang telah mencapai kejayaan cemerlang dalam PMR tentang rahsianya mencapai kejayaan untuk dimuatkan ke dalam majalah sekolah. Tuliskan wawancara anda itu selengkapnya.

Pendahuluan

Menerangkan secara ringkas dalam bentuk perenggan:
a. siapa dengan siapa
b. tempat wawancara
c. masa wawancara diadakan
d. tujuan wawancara diadakan

Contoh Pendahuluan:

Pada 16 Mac yang lalu, saya iaitu Aleef Adham sebagai pengarang Majalah SUARA telah menjalankan wawancara dengan seorang pelajar cemerlang dalam PMR yang baru lalu iaitu saudara Amirul Adhwa. Wawancara yang dijalankan di bilik gerakan ini bertujuan untuk dimuatkan ke dalam majalah SUARA keluaran tahun 2008.

Pengenalan:

Ditulis dalam bentuk dialog
a.Mengucapkan salam
b.Memperkenalkan diri
c.Menerangkan tujuan wawancara diadakan

Contoh Pengenalan:

Aleef : Assalamualaikum saudara Adhwa.

Adhwa : Waalaikumsalam.

Aleef : Saya Aleef, selaku pengarang majalah SUARA sekolah kita,terlebih
dahulu ingin mengucapkan terima kasih kepada saudara kerana sudi
diwawancara pada pagi ini.Wawancara kita ini akan dimuatkan di dalam
majalah SUARA keluaran tahun ini.

Isi Wawancara:

Mengandungi soalan pewawancara dan jawapan daripada yang diwawancara
Soalan yang bersesuaian dengan kehendak soalan karangan
Ditulis dalam ayat yang lengkap dan sempurna
Jangan menulis “singkatan” atau “bahasa pasar”
Masukkan 4 isi yang menjurus kepada kehendak soalan karangan

Contoh Isi:

Aleef : Siapakah yang menjadi pendorong kepada saudara sehingga mencapai
kejayaan yang sungguh cemerlang dalam PMR yang lalu?

Adhwa : Selain kedua-dua orang ibu bapa saya,orang yang paling banyak
mendorong saya mencapai kejayaan ialah Guru Tingkatan saya iaitu
Encik Nor Azam.Beliau begitu prihatin dengan pencapaian saya dalam
sebarang peperiksaan yang saya tempuhi sejak saya menjadi anak
muridnya.Terima kasih cikgu.

Penutup:

Nasihat/Saranan oleh orang yang diwawancara kepada pembaca
Ucapan terima kasih pewawancara kepada orang yang diwawancara

Contoh Penutup-Nasihat:

Aleef : Soalan saya terakhir.Apakah nasihat saudara kepada pelajar-
pelajar yang akan menduduki PMR pada tahun ini?

Adhwa : Nasihat saya kepada pelajar-pelajar yang akan menduduki PMR pada
tahun ini adalah selain tekun mengulangkaji pelajaran, kita perlu
menurut segala nasihat ibu bapa, guru-guru dan orang yang lebih
tua daripada kita.Akhirnya kita perlu berdoa kepada Tuhan Yang
Maha Esa.

Contoh Penutup-Terima kasih:

Aleef : Baiklah saudara Adhwa, akhir kata saya ingin mengucapkan tahniah
sekali lagi dan terima kasih kerana sudi meluangkan masa
bersama-sama dengan saya pada pagi ini.

Adhwa : Terima kasih kembali.

Thursday, June 24, 2010

Panduan Penulisan Ringkasan / Rumusan

1. Dalam peperiksaan PMR, soalan merumuskan karangan dikemukakan sebagai Soalan 2 dalam Kertas 2.

2. Biasanya, suatu bahan rangsangan seperti carta, graf, jadual, gambar rajah, dan sebagainya akan diberikan.

3. Para pelajar dikehendaki membuat rumusan, huraian, atau ringkasan dengan berdasarkan bahan rangsangan tersebut.

4. Untuk menghasilkan rumusan yang baik, anda perlulah memahami bahan rangsangan dan menulis rumusan berdasarkan kehendak soalan yang ditanyakan.

5. Rumusan yang anda tulis mestilah bernas dan padat.

6. Gunakanlah bahasa yang ringkas dan tepat serta betul dari segi tatabahasa.

7. Selain itu, susunlah isi dengan teratur dan lancar.

8. Akhir sekali, pastikan panjangnya rumusan anda tidak melebihi jumlah perkataan yang ditentukan, iaitu 120 patah perkataan.

Karangan Ucapan / Syarahan / Ceramah

Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis, barisan panel hakim yang adil dan seterusnya hadirin sekalian. Salam sejahtera saya ucapkan sebagai pembuka tirai bicara. Berdirinya saya di pentas ini adalah untuk membicarakan tajuk syarahan “Membudayakan Amalan Membaca.”

Hadirin yang saya muliakan,

Amalan membaca memang telah disedari kepentingannya oleh semua golongan sama ada pemimpin politik, ibu bapa, pendidik, pentadbir dan masyarakat amnya. Membaca adalah suatu kegiatan yang amat penting dalam kehidupan manusia dan boleh membangunkan sesuatu masyarakat dari segi intelektual serta membentuk pemikiran kreatif dan dinamis. Tidak hairanlah jika ungkapan “Membaca Jambatan Ilmu” sering kali kita gunakan untuk menunjukkan betapa pentingnya amalan membaca dalam mencari ilmu pengetahuan.

Manusia berilmu selalunya dikaitkan dengan insan berbudaya membaca. Minat membaca adalah berkaitan rapat dengan budaya ilmu kerana minat ini merupakan suatu ciri pembangunan budaya dalam masyarakat yang berorientasikan pendidikan dan pembacaan.

Amalan membaca perlu dijadikan suatu budaya dalam masyarakat kita. Budaya ini pula tidak seharusnya terbatas di sekolah, universiti atau di bandar sahaja tetapi patut dikembangkan dalam kehidupan masyarakat termasuklah masyarakat luar bandar. Hal ini penting agar masyarakat luar Bandar yang sering dikaitkan seperti katak di bawah tempurung akan dapat menambahkan ilmu pengetahuan seterusnya bersama-sama mengejar arus pembangunan.

Tuan-tuan yang saya muliakan,

Seseorang individu atau sesuatu bangsa yang mempunyai kekuasaan atau kejayaan dalam sesuatu bidang tidak boleh mempertahankan miliknya tanpa budaya ilmu yang baik. Malah dia akan bergantung kepada orang atau bangsa lain yang berilmu. Buktinya kita melihat betapa negara pengeluar minyak yang kaya-raya terpaksa bergantung hampir dalam semua aspek penting kehidupan negaranya kepada negara lain yang lebih maju dari segi keilmuan dan kepakaran.

Sejarah juga telah membuktikan bahawa masyarakat maju yang dapat menguasai pelbagai bidang dalam kehidupan mereka dan mencipta sejarah adalah terdiri daripada masyarakat yang suka membaca. Disiplin membaca untuk mendapatkan ilmu merupakan suatu kuasa pembebasan daripada belenggu-belenggu kemiskinan dan kejahilan.

Akhir kata, ingin saya tegaskan bahawa kehidupan yang lebih sempurna akan dapat dibentuk sekiranya masyarakat kita membudayakan amalan membaca. Amalan ini secara langsung akan melahirkan masyarakat berilmu dan bertamadun tinggi.

Sekian, terima kasih.

Karangan Jenis Keperihalan

Latihan


Semasa cuti sekolah, anda telah menyertai perkhemahan di sebuah taman negara. Anda diminta menceritakan pengalaman anda sepanjang perkhemahan tersebut. Ceritakan pengalaman anda selengkapnya.

Karangan Jenis Perbincangan / Pendapat

Latihan


Kemajuan teknologi maklumat banyak mendatangkan kesan yang negatif ke arah pembentukan masyarakat maju. Oleh itu, masyarakat Malaysia perlu memanfaatkannya sebaik-baik mungkin. Berikan pendapat anda mengenai isu ini.

Karangan Jenis Laporan

Latihan


Selaku Setiausaha Hari Kantin sekolah, anda diminta oleh Pengetua untuk menyediakan laporan lengkap tentang persediaan untuk menjayakan heri tersebut. Tulis laporan tersebut selengkapnya.

Karangan Jenis Dialog / Wawancara

Latihan


Kini wabak denggi dikesan berlaku di beberapa kawasan. Anda berpeluang mewawancara seorang pegawai kesihatan berhubung dengan masalah wabak denggi dan langkah-langkah yang diambil untuk membasminya. Tulis teks wawancara itu selengkapnya. Panjang karangan anda hendaklah lebih kurang 180 patah perkataan.

Karangan Jenis Perbahasan

Latihan

Anda telah mewakili sekolah dalam pertandingan perbahasan pada peringkat daerah sebagai pasukan pencadang. Tajuk perbahasan yang ditetapkan ialah "Bekerja Sendiri Lebih Baik Daripada Makan Gaji", Tulis teks perbahasan anda selengkapnya. Panjang karangan anda hendaklah lebih kurang 180 patah perkataan.

Karangan Jenis Berita

Latihan


Andaikan bahawa anda pemberita majalah sekolah. Anda diberi tugas untuk menulis berita tentang latihan kebakaran yang dilakukan di sekolah anda. Panjang karangan hendaklah lebih daripada 180 patah perkataan.

Karangan Jenis Peribahasa

Latihan

Peribahasa digunakan oleh masyarakat Melayu sejak zaman dahulu lagi. Salah satu peribahasa yang sering didengar dan dapat dijadikan amalan ialah "masuk ke kandang kambing mengembek, masuk ke kandang kerbau menguak". Tulis suatu karangan tentang peribahasa tersebut selengkapnya.

Karangan Jenis Rencana

Disiplin mempunyai kaitan yang rapat dengan kejayaan seseorang pelajar. Tulis sebuah rencana mengenai kenyataan tersebut. Panjang karangan hendaklah lebih daripada 180 patah perkataan.

Rangka Karangan Jenis Rencana


Pengenalan

Memang tidak dapat dinafikan bahawa disiplin penting bagi seseorang pelajar untuk mencapai kejayaan.

Isi-isi

i. Mengikut segala peraturan sekolah
- melicinkan proses pengajaran dan pembelajaran

ii. Mendisiplinkan diri ketika di dalam kelas
- mengikut segala pengajaran guru dengan penuh tumpuan dan penelitian

iii.Mendisiplinkan diri ketika di rumah
- menyediakan jadual belajar
- menyiapkan segala tugasan
- menyediakan nota dan mengulang kaji

iv. Mengawal diri
- mengikut segala ajaran agama
- menjauhkan diri dari segala kegiatan tidak sihat

Penutup

Disiplin membolehkan seseorang pelajar menuju ke arah kecemerlangan dan menjadi seorang insan yang sempurna.

Karangan Jenis Laporan

Rangka Karangan Jenis Laporan

Pengenalan
Negara kita banyak tempat yang bersejarah. Melalui peninggalan sejarah, kita dapat mengetahui keagungan dan kedaulatan sesuatu bangsa dan negara.

Isi-isi
i. Mengekalkan nilai-nilai tradisi dan keagungan tamadun yang lampau.
- membolehkan generasi muda mengenal, melihat dan menghayati keagungan sesuatu tamadun yang lampau.

ii. Kepentingan dari segi pelancongan.
- menjadi salah satu destinasi pelancongan.

iii. Kepentingan dari segi pendidikan.
- memupuk minat pelajar untuk mempelajari sejarah
- menjadi salah satu tempat kajian tempatan sejarah

iv. Kepentingan dari segi arkeologi dan seni bina.
- membolehkan ahli arkeologi mengkaji warisan seni bina sesuatu bangsa

Penutup
Bangunan bersejarah patutlah dipelihara dan dipulih agar warisan bangsa tidak lenyap begitu sahaja.

Surat Kiriman Tidak Rasmi

Rakan anda ingin mendapat sedikit maklumat mengenai langkah-langkah mengurangkan kemalangan jalan raya. Tulis sepucuk surat kepada rakan anda untuk menjelaskan langkah-langkah tersebut.


Rangka Karangan Surat Kiriman Tidak Rasmi


Isi-isi
i. Memperketatkan undang-undang lalu lintas
- memperketatkan undang-undang lalu lintas
- mengenakan kompaun maksimum RM300

ii. Membaiki jalan raya yang rosak
- meluruskan jalan yang bengkang-bengkok
- menurap jalan yang berlubang

iii.Memasang papan tanda dan tanda-tanda amaran
- kawasan had laju
- kawasan yang kerap berlaku kemalangan

iv.Memperbanyak kempen keselamatan jalan raya
- menerusi media massa
- mengadakan ceramah dan pameran
- mengedarkan risalah


Penutup
Berharap agar segala cadangan tersebut dapat mengurangkan kemalangan jalan raya

Karangan Jenis Pendapat

Rangka Karangan Jenis Pendapat

Pengenalan
Negara kita kaya dengan buah-buahan. (bermusim dan tidak bermusim)

Isi-isi
i. Buah-buahan tempatan lebih mudah diperoleh - di negara kita banyak terdapat dusun buah-buahan - banyak dihasilkan pada musim-musim tertentu

ii.Buah-buahan tempatan lebih murah dan segar - dijual terus di merata tempat yang menghasilkan buah-buahan tersebut - lebih murah berbanding dengan buah-buahan import - lebih berkhasiat, kaya dengan vitamin C

iii.Mengurangkan perbelanjaan membeli buah-buahan import - mengurangkan aliran wang ke luar negara - secara tidak lansung memupuk semangat kebangsaan

iv.Mewujudkan peluang kerjaya - apabila lebih banyak dusun diadakan tentulah lebih banyak peluang pekerjaan - menjadi penanam, penjual buah-buahan - membuka kilang-kilang mengetin dan menjeruk buah-buahan

Penutup
Banyak kebaikan jika kita memakan buah-buahan tempatan

Karangan Jenis Keperihalan

Rangka Karangan Jenis Keperihalan

Pengenalan
Hujan lebat disertai dengan ribut.
Merosakkan stesen dan kabel bekalan eletrik.

Isi-isi
i. Keadaan permulaan pengalaman anda di rumah - bekalan eletrik terputus pada waktu petang - keadaan rumah semakin gelap - tidak dapat menanak nasi dan memasak air - menggunakan lilin untuk menerangkan rumah - tidak dapat menonton televisyen dan mengulang kaji pelajaran

ii.Keadaan sekeliling - gelap-gelita dan sunyi sepi - seluruh kawasan perumahan hanya diterangi cahaya pelita dan lilin - ada yang menggunakan penjana kuasa - semua terpaksa tinggal di rumah

iii. Kedengaran sungutan dan perbualan orang ramai - hidup dalam kegelapan pada waktu malam - semua penghuni bandar juga kepanasan disebabkan cuaca yang panas - banyak kilang dan pusat membeli-belah terpaksa ditutup - kedai runcit yang menjual lilin yang paling laris - kerugian dianggarkan berjuta-juta ringgit

iv.Keadaan bandar - kesesakan lalu lintas kerana lampu isyarat tidak berfungsi - terdapat juga kemalangan

Penutup
Pada hari keempat pengumuman di akhbar dan radio mengatakan bekalan eletrik akan pulih semula pada hari keesokannya. Semua orang bersyukur dan gembira.

Karangan Jenis Fakta

Penyalahgunaan dadah membawa padah. Nyatakan kesan-kesan buruk penyalahgunaan dadah terhadap masyarakat dan negara. Panjang karangan anda hendaklah lebih daripada 180 patah perkataan.