Monday, June 28, 2010

Panduan Menulis Karangan Wawancara

1. Karangan wawancara melibatkan dua pihak sekurang-kurangnya untuk bertukar-tukar
fikiran tentang sesuatu hal.
2. Perkara dan jalan ceritanya perlulah ditentukan lebih dahulu sebelum penulisan dimulakan.
3. Biasanya satu situasi akan diberikan dan anda mestilah menulis dialog atau wawancara
dengan berdasarkan situasi tersebut.
4. Kedua-dua pihak harus saling bertanya dan memberikan pendapat atau pandangan masing-
masing.
5. Anda juga boleh menulis aksi kedua-dua pihak itu dalam kurungan.
6. Aksi tersebut biasanya ditulis dalam dialog sahaja dan bukan dalam wawancara lebih formal
sifatnya.
7. Gunakan ayat-ayat yang mudah dan ringkas serta betul dari segi tatabahasanya.


Contoh Soalan:

Sebagai pengarang majalah sekolah anda dikehendaki mewawancara seorang pelajar di sekolah anda yang telah mencapai kejayaan cemerlang dalam PMR tentang rahsianya mencapai kejayaan untuk dimuatkan ke dalam majalah sekolah. Tuliskan wawancara anda itu selengkapnya.

Pendahuluan

Menerangkan secara ringkas dalam bentuk perenggan:
a. siapa dengan siapa
b. tempat wawancara
c. masa wawancara diadakan
d. tujuan wawancara diadakan

Contoh Pendahuluan:

Pada 16 Mac yang lalu, saya iaitu Aleef Adham sebagai pengarang Majalah SUARA telah menjalankan wawancara dengan seorang pelajar cemerlang dalam PMR yang baru lalu iaitu saudara Amirul Adhwa. Wawancara yang dijalankan di bilik gerakan ini bertujuan untuk dimuatkan ke dalam majalah SUARA keluaran tahun 2008.

Pengenalan:

Ditulis dalam bentuk dialog
a.Mengucapkan salam
b.Memperkenalkan diri
c.Menerangkan tujuan wawancara diadakan

Contoh Pengenalan:

Aleef : Assalamualaikum saudara Adhwa.

Adhwa : Waalaikumsalam.

Aleef : Saya Aleef, selaku pengarang majalah SUARA sekolah kita,terlebih
dahulu ingin mengucapkan terima kasih kepada saudara kerana sudi
diwawancara pada pagi ini.Wawancara kita ini akan dimuatkan di dalam
majalah SUARA keluaran tahun ini.

Isi Wawancara:

Mengandungi soalan pewawancara dan jawapan daripada yang diwawancara
Soalan yang bersesuaian dengan kehendak soalan karangan
Ditulis dalam ayat yang lengkap dan sempurna
Jangan menulis “singkatan” atau “bahasa pasar”
Masukkan 4 isi yang menjurus kepada kehendak soalan karangan

Contoh Isi:

Aleef : Siapakah yang menjadi pendorong kepada saudara sehingga mencapai
kejayaan yang sungguh cemerlang dalam PMR yang lalu?

Adhwa : Selain kedua-dua orang ibu bapa saya,orang yang paling banyak
mendorong saya mencapai kejayaan ialah Guru Tingkatan saya iaitu
Encik Nor Azam.Beliau begitu prihatin dengan pencapaian saya dalam
sebarang peperiksaan yang saya tempuhi sejak saya menjadi anak
muridnya.Terima kasih cikgu.

Penutup:

Nasihat/Saranan oleh orang yang diwawancara kepada pembaca
Ucapan terima kasih pewawancara kepada orang yang diwawancara

Contoh Penutup-Nasihat:

Aleef : Soalan saya terakhir.Apakah nasihat saudara kepada pelajar-
pelajar yang akan menduduki PMR pada tahun ini?

Adhwa : Nasihat saya kepada pelajar-pelajar yang akan menduduki PMR pada
tahun ini adalah selain tekun mengulangkaji pelajaran, kita perlu
menurut segala nasihat ibu bapa, guru-guru dan orang yang lebih
tua daripada kita.Akhirnya kita perlu berdoa kepada Tuhan Yang
Maha Esa.

Contoh Penutup-Terima kasih:

Aleef : Baiklah saudara Adhwa, akhir kata saya ingin mengucapkan tahniah
sekali lagi dan terima kasih kerana sudi meluangkan masa
bersama-sama dengan saya pada pagi ini.

Adhwa : Terima kasih kembali.

No comments:

Post a Comment