Thursday, June 24, 2010

Karangan Ucapan / Syarahan / Ceramah

Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis, barisan panel hakim yang adil dan seterusnya hadirin sekalian. Salam sejahtera saya ucapkan sebagai pembuka tirai bicara. Berdirinya saya di pentas ini adalah untuk membicarakan tajuk syarahan “Membudayakan Amalan Membaca.”

Hadirin yang saya muliakan,

Amalan membaca memang telah disedari kepentingannya oleh semua golongan sama ada pemimpin politik, ibu bapa, pendidik, pentadbir dan masyarakat amnya. Membaca adalah suatu kegiatan yang amat penting dalam kehidupan manusia dan boleh membangunkan sesuatu masyarakat dari segi intelektual serta membentuk pemikiran kreatif dan dinamis. Tidak hairanlah jika ungkapan “Membaca Jambatan Ilmu” sering kali kita gunakan untuk menunjukkan betapa pentingnya amalan membaca dalam mencari ilmu pengetahuan.

Manusia berilmu selalunya dikaitkan dengan insan berbudaya membaca. Minat membaca adalah berkaitan rapat dengan budaya ilmu kerana minat ini merupakan suatu ciri pembangunan budaya dalam masyarakat yang berorientasikan pendidikan dan pembacaan.

Amalan membaca perlu dijadikan suatu budaya dalam masyarakat kita. Budaya ini pula tidak seharusnya terbatas di sekolah, universiti atau di bandar sahaja tetapi patut dikembangkan dalam kehidupan masyarakat termasuklah masyarakat luar bandar. Hal ini penting agar masyarakat luar Bandar yang sering dikaitkan seperti katak di bawah tempurung akan dapat menambahkan ilmu pengetahuan seterusnya bersama-sama mengejar arus pembangunan.

Tuan-tuan yang saya muliakan,

Seseorang individu atau sesuatu bangsa yang mempunyai kekuasaan atau kejayaan dalam sesuatu bidang tidak boleh mempertahankan miliknya tanpa budaya ilmu yang baik. Malah dia akan bergantung kepada orang atau bangsa lain yang berilmu. Buktinya kita melihat betapa negara pengeluar minyak yang kaya-raya terpaksa bergantung hampir dalam semua aspek penting kehidupan negaranya kepada negara lain yang lebih maju dari segi keilmuan dan kepakaran.

Sejarah juga telah membuktikan bahawa masyarakat maju yang dapat menguasai pelbagai bidang dalam kehidupan mereka dan mencipta sejarah adalah terdiri daripada masyarakat yang suka membaca. Disiplin membaca untuk mendapatkan ilmu merupakan suatu kuasa pembebasan daripada belenggu-belenggu kemiskinan dan kejahilan.

Akhir kata, ingin saya tegaskan bahawa kehidupan yang lebih sempurna akan dapat dibentuk sekiranya masyarakat kita membudayakan amalan membaca. Amalan ini secara langsung akan melahirkan masyarakat berilmu dan bertamadun tinggi.

Sekian, terima kasih.

2 comments:

  1. CONTOH KARANGAN
    Assalamualaikum.

    Yang Mulia Tuan Pengerusi Majlis, Yang dihormati Tuan Guru Besar, guru-guru dan seterusnya rakan-rakan sekalian
    Terlebih dahulu saya berterima kasih kepada Tuan Pengerusi Majlis kerana memberi peluang kepada saya untuk berucap dalam majlis yang mulia ini.
    Hadirin sekalian,
    Sebagaimana yang kita maklum Hari Guru disambut pada 16 Mei 1997 Perayaan yang seumpama ini disambut setiap tahun. Tujuan perayaan ini adalah untuk mengenang dan menghargai jasa serta bakti guru-guru selama ini.
    Pengorbanan guru terhadap kita besar sekali. Tanpa guru , kita sudah tentu susah untuk mendapatkan pelajran dan pengajaran dengan sempurna. Guru ibaratkan sebagai sebatang lilin yang sanggup membakar diri demi murid-muridnya. Oleh itu jasa guru patutlah dikenang dan disanjung tinggi.
    Guru adalah seperti ibu bapa kita sendiri . Mereka membimbing dan mendidik kita supaya menjadi orang yang berguna. Oleh itu marilah kita semua belajar dengan bersungguh-sungguh agar tidak menghampakan harapan mereka.
    Hadirin sekalian,
    Terima kasih saya ucapkan kepada guru-guru yang telah mengajar , mengasuh dan mendidik kami tanpa jemu. Akhir sekali, kami meminta ampun di atas segala kesilapan yang dilakukan oleh kami selama ini. Sekali lagi saya ucapkan selamat menyambut Hari Guru.
    Sekian, terima kasih.

    DARIPADA:PRIYA DAN SHARMMILA
    2KRK1

    ReplyDelete
  2. Iqbal, Aiman
    Contoh Karangan
    Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada Yang Berusaha Tuan Pengerusi Majlis, pegawai-pegawai persatuan belia, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian. Pada era ‘dotcom’ ini, banyak negara di dunia yang berlumba-lumba untuk memajukan bidang multi media (pelbagai media) mereka. Dalam hal ini Malaysia, sebagai harimau Asia tidak ketinggalan. Kerajaan sedang berusaha membangunkan Koridor Raya Multimedia atau lebih dikenali sebagai Multi-media Super Corridor (MSC) di kawasan seluas 750 kilometer persegi, dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC) hingga ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Projek ini ternyata meninggalkan pelbagai implikasi atau kesan kepada rakyat Malaysia sama ada implikasi yang positif atau negatif. Kesan-kesan MSC dapat dilihat dari aspek pendidikan, ekonomi, industri, sosial dan politik.

    Walau bagaimanapun, pembangunan pesat multi media tidak bebas daripada implikasi negatifnya. Internet hari ini lebih menjurus kepada aspek-aspek yang negatif. Malah di Malaysia sendiri, ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan kemudahan internet untuk menyebarkan khabar-khabar angin. Saya yakin kita masih ingat khabar angin bahawa akan berlaku rusuhan kaum pada 13 Mei, 1999 di Chow Kit, Kuala Lumpur yang disebarkan melalui internet. Selain itu, kempen memburuk-burukkan pemimpin kerajaan dan kerajaan sendiri memang terus-menerus berlaku. Inilah aspek negatif internet yang sukar dibendung oleh sesiapa.
    Remaja yang dahagakan pengetahuan seks dijadikan sasaran utama peniaga-peniaga bahan porno ini. semua pelajar sekolah hari ini terdedah kepada ancaman negatif ini. Kewujudan kafe siber di merata- Kafe-kafe ini merupakan pusat perkembangan dan perkongsian maklumat negatif di kalangan remaja dan belia. Dari sini juga lah aktiviti-aktiviti negatif yang lain seperti merokok, menagih dadah, gengsterisme dan vandalisme mula bertapak di sanubari anak-anak.
    .
    Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
    Jelaslah bahawa teknologi maklumat membawa pelbagai kebaikan, namun pada masa yang sama memberi laluan kepada aneka keburukan yang mampu melanda negara kita. Menjadi tugas kitalah bagi mengambil yang jernih dan membuangkan yang keruh.
    Sekian, terima kasih.

    ReplyDelete